Saturday, July 24, 2010

Nostalgia Kehidupan di Kampus

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam saya menyelongkar rak-rak buku untuk disusun kembali supaya kelihatan kemas dan teratur. Banyak sungguh koleksi yang dikumpulkan semenjak belajar di kampus. Kedapatan buku yang belum sempat dibaca lagi tetapi setiap kali terpandang buku yang diminati saya tidak pernah lupa untuk membeli. Maka bertambah-tambahlah koleksi dalam almari yang sesetengahnya belum terusik pun lagi.

Pastinya buku-buku lama ditemui dan ditatap kembali. Buku Sepuluh Wasiat Hasan al Banna, Apa Erti Saya Menganut Islam, Risalah Usrah, Detik-Detik Masa Dalam Kehidupan Muslim serta Hadis 40 adalah antara buku yang membuatkan saya mengimbau kembali kenangan semasa menjalani kehidupan di kampus UITM, UUM dan UIAM. Sewaktu itu..betapa indahnya bersama sahabat di kampus, saban minggu ada usrah, qiamulail dan kuliah di surau. Betapa pada waktu itulah erti aurat baru saya fahami. Masih segar dalam ingatan saya, Ustaz Kusno memberi kuliah maghrib di surau UITM yang pada masa itu bertempat di Sura Gate, Dungun. Ustaz menjelaskan antaranya, “..orang perempuan kena tutup aurat, pakai tudung labuh hingga ke dada, baju jarang dan ketat tak boleh, kena jaga aurat, kalau dalam sembahyang kita menjaga aurat, di luar sembahyang pun kita kena buat perkara yang sama..” Terima kasih Ustaz, kata-katamu melekat di hati dan terngiang-ngiang di telinga sehingga ke hari ini. Apabila saya mendengarnya pada malam itu juga saya segera ke asrama kakak senior untuk meminjam tudung kerana tidak sabar untuk memakainya. Alhamdulillah..esoknya tanpa berlengah saya terus memakai tudung tanpa rasa segan atau malu kerana itu perintah Allah yang amat mudah dan perlu segera ditunaikan. Perubahan mendadak diri saya sememangnya telah mengejutkan rakan sekuliah, dan Alhamdulillah jejak langkah saya telah diikuti oleh mereka secara berperingkat. Terima kasih Kak Suraya kerana sudi meminjamkan tudung dan terima kasih sekali lagi Ustaz Kusno kerana ilmu yang diberi sungguh tidak ternilai harganya buat saya.

Begitulah detik permulaan perubahan dalam diri saya. Sewaktu itu betapa ceteknya ilmu Agama yang saya ada..hatta tentang aurat pun saya tidak ketahui. Berbeza sungguh dengan zaman ini, bahan bacaan banyak sekali, melalui internet seperti blog, facebook dan sebagainya juga ilmu boleh dikongsi. Kuliah, Halaqah, program Tanyalah Ustaz boleh diikuti menerusi TV...yang penting diri sendiri, mahu atau tidak mencari ilmu yang belum dipelajari. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah syukur, peluang bergaul bersama teman yang mempunyai minat yang sama telah membantu saya untuk menjalani kehidupan di kampus dengan penuh bermakna. Sewaktu di kampus, saya juga diamanahkan sebagai pemimpin pelajar di semua Universiti yang saya diami. Tanggungjawab dan amanah digalas berbekalkan sokongan padu sahabat sekalian. Sungguh indah pengalaman ini pasti tidak cukup wang untuk dibeli kerana nilainya tinggi sukar diperolehi.

Apabila terkenangkan apa yang telah dilalui pada zaman kampus dahulu, terasa benar kerinduan diri ini untuk mengharungi semula kemanisan pada saat itu. Sekarang tiada lagi usrah sebagai medan untuk saling berpesan dengan kebenaran, saling bertolongan dalam mengatasi kesulitan dan saling mengingati agar tidak berterusan melakukan kesilapan.

Teringat lagi antara kandungan pengisian usrah yang sering menjadi topik perbincangan kami. Antaranya ‘membalas yang makruf dan berterima kasih’. Butir perbincangan adalah berdasarkan buku Keperibadian Muslim. Satu daripada akhlak muslim yang baik lagi mulia ialah membalas budi baik dengan balasan yang lebih baik dan tidak menafikan budi baik orang. Ianya selaras dengan sabda Rasulullah SAW maksudnya; “Barangsiapa yang telah menerima budi baik hendaklah dia membalasnya” (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi).

Ya..mensyukuri dan berterima kasih ke atas nasihat yang benar dan budi baik adalah tergolong di dalam akhlak muslim yang terpuji. Justeru orang yang telah membuat kebaikan kepada kita amat perlu disyukuri dan mengucapkan terima kasih kepadanya walaupun mereka tidak mengharapkan balasan daripada jasanya. Walaupun begitu, orang yang menerima budi perlu menghargai jasanya..walaupun sekadar dengan ucapan terima kasih sahaja, kalau mampu balaslah dengan balasan yang sama atau melebihi daripada jasanya.

Selain itu amat perlu untuk sentiasa ‘mengembirakan hati sesama manusia’. Ya menurut intipati buku itu lagi, muslim yang sedar lagi disinari hidayah agamanya akan berusaha bersungguh-sungguh menyebarkan kegembiraan di mana dia berada. Sesungguhnya, menaburkan keriangan, murah kasih sayang dan kegembiraan dalam kalangan masyarakatnya serta menanamkan bibit kegembiraan di hati manusia lain menurut lunas-lunas Islam adalah perkara yang dituntut dalam syariat Islam.

Jadilah suasana (bi’ah) Islam itu dilimpahi dengan kegembiraan, disirami oleh kasih sayang dan digenangi dengan air mata sukacita dan dipenuhi pula dengan wajah-wajah yang tersenyum simpul. Justeru itulah, Islam memberikan kegembiraan yang berlipat ganda kepada sesiapa yang mengembirakan hati orang lain, kerana InsyaAllah..Allah SWT akan mengembirakan hati kita pada hari kiamat kelak. Sabda Rasulullah SAW maksudnya; “Barangsiapa berjumpa saudaranya yang muslim, dengan apa yang disukai Allah SWT dengan tujuan mengembirakan perasaan saudaranya, Allah SWT mengembirakan dia pada hari kiamat”. (Riwayat At-Tabrani dengan sanad Hasan).

Justeru anda dan saya..usah kita lupa untuk bersyukur dan berterima kasih dengan orang yang berbudi dan berjasa. Berbuat baiklah kepada mereka dan seandainya ada kesilapan yang mereka lakukan, ringankanlah untuk menghulurkan kemaafan kerana tidak ada ruginya kerana mereka pernah berjasa dengan kita. Berusahalah untuk mengembirakan hati orang lain selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Mungkin dengan sedikit kegembiraan yang kita berikan akan mampu mendekatkan dirinya kepada Allah dan seterusnya membuatkan kehidupannya kembali bersinar kerana masih ada yang sayang dan mengambil berat terhadap dirinya.

InsyaAllah..akan saya kongsikan intipati usrah yang pernah saya ikuti bersama pembaca sekalian yang amat saya sayangi dan kasihi. Yang baik jadikan pedoman yang buruk terus diketepikan. Moga kehidupan kita seterusnya memperoleh keberkatan dan mendapat hidayah Allah yang berpanjangan. Amin…

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment