Saturday, July 10, 2010

Hargai Budi Kenangi Jasa

Bismillahirrahmanirrahim...

Dalam kehidupan ini, kesunyian pasti terasa seandainya kita berseorangan. Tiada teman untuk bergurau senda, tiada keluarga tempat bermanja menyebabkan hati dan jiwa menjadi gersang kerana kepada siapa hendak disandarkan perasaan. Kita semua amat mengidamkan suasana kehidupan yang penuh ketenangan dan kedamaian yang bersulamkan kasih dan sayang. Oleh kerana ujian kita berbeza, maka cara kehidupan kita juga menjadi tidak sama kerana keperluan dan kemahuan kita tidak serupa. Justeru amat perlu kita memahami dan mengerti, hakikat perbezaan ini, agar mudah untuk kita menerima orang lain seadanya. Berkasih sayang sesama manusia tiada salahnya, yang penting batasnya ada, sempadannya usah dilupa.

Begitulah kurniaan Ilahi pada jiwa ini, mudah menyayangi dengan sesiapa sahaja yang didekati, apatah lagi seandainya yang ditemui ialah kanak-kanak yang bersih hati, rasa sayang tidak berbelah bagi. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Pengalaman sahabat, saya jadikan pedoman untuk memberi kasih dan sayang. Pernah satu ketika, saya mendengar keluhan seorang teman katanya, dek kerana mudahnya mengalir perasaan sayang, diri kita pula ditikam dari belakang. Kasih sayang yang diberi telah dikhianati, membuatkan orang lain turut membenci. Kadangkala kasih sayang dihulurkan tidak dihargai yang paling menyakitkan apabila disalah erti. Apabila disayangi, dikatakan ingin berbudi kononnya untuk mengambil hati kerana ada hasrat yang tersembunyi. Akhirnya kasih sayang yang sudah terbina ditolak ketepi dan dicaci. Segala kebaikan habis terpadam, tiada sedikit dalam kenangan. Sebaliknya kesilapan yang sedikit diperbesar-besarkan dan kepada orang lain turut dihebahkan.

Sungguh menghairankan kenapa kita menjadi orang yang sombong diri, tiada sekelumit perasaan rendah diri untuk orang yang pernah berbudi. Budi yang ditabur bukan mengharapkan balasan memadai sekadar ianya berada dalam ingatan. Sekadar peringatan untuk renungan, hargailah orang yang pernah berbudi dan kenangilah orang yang telah berjasa walaupun budi baiknya sekelumit cuma. Pandanglah wajah ayah bonda serta saudara dan sahabat kita. Betapa banyaknya budi dan jasa mereka, yang telah membuatkan kehidupan kita menjadi sangat bermakna. Sewajarnya, salah dan silap mereka kita ketepikan kerana terimalah hakikat bahawa kita ini hamba Allah yang tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.

Tanyalah diri sendiri, tenangkah diri kita serta damaikah perasaan hati seandainya dalam hidup ini kita pernah menyakiti dan membuat orang lain dibenci kerana tingkah laku dan tutur kata kita yang tidak berjaga-jaga? Benar pepatah mengatakan, kerana mulut badan binasa, kerana mulutlah persahabatan tersadai dinpertengahan jalan, kasih sayang terputus tanpa ikatan, serta ukhuwwah terlerai dek lemahnya iman. Akibat tersilap tutur dan kata, boleh menggoncang rumah tangga hingga menyebabkan ia menjadi porak peranda kerana mudah menerima segala bentuk berita tanpa diperiksa akan kebenarannya. Mulut sungguh berbisa seandainya tidak berhati-hati dalam mengeluarkan cerita dan bicara, Kesannya ia membuatkan diri menjadi sengsara dan akhirnya keluarga menjadi tidak bahagia.

Alangkah bagusnya sekiranya kita berbaik sangka tidak akan timbul sengketa tanpa diduga. Seandainya ada syak wasangka, usah dibiarkan begitu sahaja. Mohonlah penjelasan agar terang duduk perkara supaya penyakit hati dapat dipadam. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa, usah kita menjadi orang yang mudah lupa untuk menghargai orang yang pernah berbudi dengan kita. Kadangkala waktu susah sahaja kita memerlukan pertolongan dan bantuan orang, waktu senang dan bahagia terlupa pula untuk dikongsikan. Usah menjadi orang yang lupa daratan, sombong diri tidak tentu haluan akhirnya diri sendiri yang menanggung kerugian. Firman Allah SWT; "Janganlah engkau berjalan di atas muka bumi ini dengan sombong, sesungguhnya engkau itu tidak dapat menembusi bumi dan tidak akan engkau sampai setinggi gunung” ( Surah al-Isra’: 37).

Marilah kita mengambil masa sejenak, memikirkan perihal mereka yang pernah berbudi dan berjasa dengan kita. Berusahalah agar tidak menyakiti hati mereka walaupun ada perbuatan dan tutur katanya yang mengguris hati kita. Alangkah baiknya kalau kita berlapang dada, memberi kemaafan sahaja kerana selama ini sewaktu kita susah dan memerlukan bantuan serta bimbingan, merekalah yang sentiasa ke hadapan untuk menghulurkan pertolongan. Justeru usah sakiti hati mereka, andainya ada rasa tidak suka, ketepikan saja kerana selama ini kasih sayangnya telah dicurahkan untuk kita.

Anda dan saya, bahagianya kita sekiranya dapat menabur budi dan jasa, apatah lagi seandainya ia dihargai dan dikenang. Balasan yang diharapkan bukannya ganjaran, memadai ianya terpahat dalam ingatan diiringi doa yang berterusan agar diri ini sentiasa ringan untuk menghulurkan bantuan pada saat orang lain sangat memerlukan.

Sesungguhnya kita amat mengharapkan agar kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang mudah lupa dan leka, mengingati Allah hanya seketika iaitu pada kala duka dan derita sahaja. Waktu senang dan bahagia kita sering terlupa kepada Allah Yang Maha Esa apatah lagi kepada sesama manusia yang pernah berjasa dan berbudi dengan kita. Hargailah budi, kenangilah jasa.

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment