Tuesday, July 13, 2010

Inikah Erti Kehidupan?

Bismillahirrahmanirrahim…

Petang tadi saya pulang agak lewat kerana mesyuarat berakhir jam 5.30 petang. Sebagaimana biasa, sewaktu beginilah kenderaan banyak berada di jalan raya, maklumlah semuanya berpusu-pusu mahu pulang ke rumah setelah seharian berada di tempat kerja. Selain itu, mentari pula memancar terik, menyebabkan mata menjadi sakit dan letih. Kepenatan pula amat terasa, justeru pada saat ini suasana damai dan tenang amat diperlukan agar keletihan tidak terbawa sehingga ke malam.

Alangkah beruntung sekiranya orang yang ada di sekelilng memahami situasi kita. Berusaha untuk menggembirakan hati sehinggakan rasa penat tiada lagi. Kadang kala rasa kasihan pula kepada anak, tidak sempat untuk saya bersembang panjang, bertanya khabar tentang apa yang berlaku di sekolah. Selepas solat Isyak, terus terlelap seketika dan apabila terjaga, sukar pula nak pejamkan mata. Apabila tidak buat apa, fikiran mula melayang entah ke mana, memikirkan yang bukan-bukan tiada ertinya. Benar sekali kata sahabat saya, seandainya kita biarkan diri kita kosong tanpa berbuat apa-apa, awas tentang fikiran kita, kerana ianya perlu dikawal selia, jika tidak pasti fokusnya tiada. Adakalanya kita mula memikirkan yang tidak sepatutnya menyebabkan jiwa dan hati menjadi kacau bilau dan syaitan mula mengacau.

Bagi mengelakkan fikiran daripada berterusan melayang tanpa tujuan, penuhkan waktu dengan pelbagai pengisian, usah dibiarkan kosong kerana bimbang kita fikir yang bukan-bukan. Sibukkan diri agar perkara yang remeh boleh diketepikan. InsyaAllah akhirnya kehidupan yang dilalui menjadi lebih bererti dan bermakna. Sekiranya kita tidak mampu menyendiri, carilah teman yang boleh dipercayai dan diyakini untuk berkongsi masalah yang dihadapi. Moga dengan secebis luahan, ringanlah sedikit bebanan yang tersimpan apatah lagi apabila kedapatan nasihat dan bimbingan yang diberikan untuk kita jadikan panduan.

Sebenarnya adalah lebih baik kita muhasabah diri tentang apa yang telah kita lakukan sepanjang hidup ini. Sebarang kesilapan,dan kelemahan, pastikan keesokan hari tidak diulangi lagi. Pastikan hari esok yang bakal kita hadapi dan lalui, pengisiannya lebih baik daripada semalam kerana penambahbaikan secara berterusan amat pelru dititik beratkan. Sekiranya kita sentiasa mencari kesalahan orang, apalah sangat yang boleh kita lakukan, faedahnya tiada tetapi kita sekadar membazirkan waktu sahaja. Kenapa waktu yang ada untuk kita tidak dimanfaatkan sebaik mungkin dengan perkara yang mendatangkan faedah serta menguntungkan kerana itulah yang terbaik buat kita.

Dalam kehidupan ini, semesti ada harinya kita mengalami kekecewaan dan ada masanya kita dianugerahkan kegembiraan dan kebahagiaan. Kita perlu sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan sebarang perubahan dan kemungkinan yang tidak dijangkakan. Usah diharapkan panas sentiasa sampai ke petang, sebab ada kalanya hujan turun pada waktu tengahari. Jangan kerana sedikit musibah yang menimpa, kita menjadi menggelabah, seolah sudah berakhirlah kehidupan kita. Perasaan kecewa, runsing, sedih dan hampa menguasai jiwa dan akhirnya kehidupan bertemankan air mata sahaja. Bukankah ianya sia-sia belaka?

Usah kerana kehilangan cinta, menyebabkan hidup kita merana. Mungkin cinta yang hilang tidak baik untuk kita. Janganlah bersedih hati sehingga meragut kewarasan diri, apabila orang tersayang dijemput pergi menghadap Ilahi, kerana kematian itu pasti cuma cara dan ketikanya sahaja yang berbeza. Begitu juga, dengan alam rumah tangga, pasti ada suka duka dan pahit manis pasti dirasa. Semalam saya membaca akhbar, perihal kisah empat orang isteri yang kecewa digantung tidak bertali tanpa nafkah, serta tiada lagi kasih sayang dan simpati daripada suami terhadap isteri. Akibatnya, isteri bertindak di bawah sedar hubungan terlarang terjalin sudah demi mengisi kekosongan dalam diri dan hati. Akibatnya dosa bertambah dek kerana kecuaian suami dan kelemahan isteri sehinggakan diri tidak terkawal lagi akhirnya nafsu menguasai diri. Kesannya dosa dan pahala tidak diambil peduli lagi.

Bukan tujuan kita hendak mencari siapa yang salah, siapa yang benar. Yang penting, apa jua ujian dan musibah yang menimpa, tanganilah ia secara berhati-hati penuh waspada, agar diri kita tidak terjerumus ke lembah dosa. Senjata dan kuncinya ialah tabah dan sabar sentiasa, anggaplah ujian yang Allah beri adalah untuk menambahkan pahala buat kita. Seandainya kita dapat menangani dengan cara yang terpuji, faedah dan nikmatnya pasti berganda. Ujian yang kita hadapi sekadar untuk menguji darjah keimanan kita, iaitu sejauh mana kita mampu menghadapi kerana ganjaran pahala tersedia menanti bagi orang yang mengerti. Mohonlah pertolongan Allah apabila kita diuji, mendekatkan diri dengan Allah itu lah cara yang dikehendaki agar kita tidak berterusan hanyut dengan kesulitan dan kesedihan yang kita alami. Sesungguhnya setiap kesulitan pasti ada kesenangan. Yakinlah dengan Firman Allah SWT; “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu sudah selesai (dari sesuatu urusan) kerjakanlah dengan sungguh-sunguh (urusan) yang lain, dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap”. (Surah Al Insyirah: 5-8).


Anda dan saya, mudah-mudahan Allah menjadikan kita dalam golongan orang yang sabar dan tabah dalam menghadapi ujian kehidupan, sentiasa berwaspada dalam membuat tindakan serta berhati-hati dalam membuat keputusan. Moga kehidupan kita memperoleh keberkatan. Amin…

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment