Friday, July 23, 2010

Ramadhan - Moga Kita Diketemukan

Bismillahirrahmanirrahim…

Petang tadi saya berkesempatan untuk membaca akhbar harian berkaitan isu terkini yang sedang hangat diperkatakan. Ya..isu buang bayi, anak derhaka dan si tanggang moden adalah antara berita yang amat gerun untuk dibaca. Walau bagaimanapun, apa yang amat menarik perhatian saya ialah berkaitan pelbagai iklan yang dipaparkan bagi memastikan kemeriahan sambutan hari raya yang bakal menjelang tiba. Iklan biskut raya, baju raya, kain raya semuanya ada, tawaran hebat beserta diskaunnya sekali. Sungguh menarik kalau kita tidak berfikir dua kali, rasanya pasti semuanya hendak dibeli.

Kadangkala terdetik juga di hati saya, Ramadhan belum menjelma, persiapan raya yang menjadi perkara utama. Maafkanlah saya kalau ada yang terasa. Bukan persiapan hari raya itu salah, tetapi jangan sampai kita terlupa akan kehebatan Ramadhan yang bakal disambut nanti. Ramadhan yang lepas telah memberi kesedaran dan keinsafan kepada saya betapa kerdilnya diri ini, kerugian yang amat sangat dapat dirasai kerana tidak dapat menjalankan ibadat puasa dengan sempurna. Ya..sewaktu itu, saya telah diuji dengan kesakitan dan terpaksa berada di hospital sepanjang bulan Ramadhan 2009. Sayu sekali apabila mendengar jemaah di masjid berhampiran menunaikan solat Tarawih kerana diri ini hanya mampu terlantar di atas katil sahaja. Betapa rindunya pada waku itu untuk turut serta jemaah yang lain tetapi apakan daya, kesakitan juga Allah yang kurnia. Yang penting, ingatlah waktu sihat sebelum sakit, apabila dalam keadaan sakit banyak perkara yang kita tidak dapat lakukan, keseronokan dan kegembiraan bukan lagi menjadi keutamaan. Nikmat kesihatan tiada tandingan, perhebatkanlah amal ibadat dan rebutlah peluang keemasan untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT serta untuk mendapatkan pengampunan-Nya di atas segala perbuatan mendatangkan dosa yang telah kita lakukan.

Moga Ramadhan pada tahun ini sempat saya lalui kerana Ramadhan adalah tetamu agung umat Islam yang membawa keampunan, rahmat, kebajikan dan keberkatan. Abu Hurairah r.a menyebutkan bahawa Rasulullah SAW telah mengembirakan para sahabat dengan kedatangan Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang berkat. Allah SWT telah mewajibkan kepada kamu puasanya (Ramadhan). Di dalamnya dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup padanya pintu-pintu neraka dan dibelengu padanya syaitan-syaitan. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang mengharamkan kebaikan malam itu, maka sesungguhnya dia telah diharamkan”. (Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Nasaei). Begitulah motivasi Ramadhan untuk kita umatNya. Rebutlah peluang, jika tidak mahu mendapat kerugian, penyesalan tiada gunanya.

Ya..saya teringin sekali mengajak sahabat sekalian untuk bersama-sama memperbaharui azam bagi menyambut dan mengisi kedatangan Ramadhan ini sebaik mungkin. Usah terlalu memikirkan tentang kehebatan dan kemeriahan untuk sambutan hari raya semata-mata. Ramadhan hanya setahun sekali. Kalau dizinkan Allah kita akan dapat bertemu Ramadhan pada tahun ini, tetapi pada tahun hadapan belum tentu lagi. Ramadhan adalah masa dan peluang umat Islam untuk melipat gandakan kebajikan kerana inilah bulan perniagaan yang amat menguntungkan kerana ganjaran pahala yang berlipat ganda Allah akan kurniakan. Perhebatkan amal ibadat, Solat Tarawih, Witir dan Tahajjud usah diabaikan, pastikan tadarrus al-Quran saban malam kalau tidak mahu berterusan kerugian. Marilah sama-sama kita berdoa dan berharap agar dapat bertemu dengan bulan Ramadhan yang mulia ini. Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sebelum tiba bulan Ramadhan dengan bermula bulan Rejab sering memperbanyakkan doa. Antaranya ialah maksudnya; “Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada kami di bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikanlah kami di bulan Ramadhan" (Hadis riwayat Al-Tabrani).

Justeru persediaan menyambut Ramadhan perlu disegerakan bagi menzahirkan betapa gembiranya kita untuk menunggu kedatangannya. Ya..sebagai langkah segera, perbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Sya’ban yang tinggal cuma dua minggu sahaja lagi. Rebutlah segera peluang yang masih terbuka sebagai persiapan menyambut Ramadhan yang InsyaAllah bakal tiba tidak lama lagi. Rasulullah SAW sendiri telah mengamalkan puasa pada bulan Sya’ban sebagaimana dinyatakan oleh ’Aisyah r.a maksudnya; “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa dalam satu bulan, melainkan bulan Ramadhan, dan aku tidak melihat baginda dalam mana-mana bulan lain lebih banyak berpuasa melainkan bulan Sya’ban” (hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Entah kenapa saya amat merindukan Ramadhan pada tahun ini. Mungkin kerana saya tidak dapat menyambutnya dengan penuh bererti pada tahun lepas menyebabkan saya ternanti-nanti untuk menyambutnya. Moga Allah pertemukan saya dengan Ramadhan bulan yang penuh dengan keberkatan dan pengampunan ini. Ramadhan kunanti, rasanya tak sabar lagi, kerana ingin sekali diri ini menebus kembali segala kekurangan yang telah dilalui dalam bulan Ramadhan pada tahun sebelum ini.

Anda dan saya..marilah sama-sama kita memperbaharui azam dan tekad, moga keberkatan Ramadhan dapat kita perolehi dan kehebatannya dapat kita nikmati. Harapan kita agar ia mampu menggilapkan dan membersih diri daripada sebarang penyakit hati, ringan untuk beribadah dan segala ujian dapat diatasi. Sesungguhnya Ramadhan adalah lambang kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya yang menyedari dan menginsafi akan kehebatan Allah SWT Yang Maha Pemberi atas segala yang kita miliki. Begitu agungnya kasih sayang Allah kepada kita semua. Muhasabah diri, kenali diri dan berusahalah untuk menghayati Ramadhan dengan penuh terisi melalui perbuatan, tindakan dan amalan baik yang mampu mendekatkan diri hanya kepada Ilahi. Moga Allah kurniakan kekuatan kepada kita untuk melakukan amal ibadah agar Ramadhan menjadi kenangan yang terindah buat kita semua. Mudah-mudahan Ramadhan ini dapat kita sama-sama lalui sekali lagi. Amin..

Bertemu lagi...

No comments:

Post a Comment