Friday, July 9, 2010

Lemahnya Diri Ini

Bismillahirrahmanirrahim…

Masih terngiang-ngiang kedengaran di telinga saya apabila sahabat mengatakan bahawa apabila diri kita banyak melakukan dosa, maka kita tidak dapat lagi membezakan antara yang benar dan yang salah. Ya, saya memikirkan tentang diri sendiri betapa lemahnya diri ini, berterusan melakukan perbuatan yang Allah tidak suka, bukannya tidak tahu tentang dosa dan pahala tetapi sering kali diri ini leka dan terlena. Teringin sekali untuk saya mengoreksi diri agar saban hari diri ini bersih hatta daripada secebis kesalahan yang mendatangkan dosa. Azam dan tekad berterusan disematkan tetapi sungguh menyedihkan kerana hasrat yang diimpikan belum kesampaian.

Sebenarnya sungguh tinggi hasrat hati, untuk menjadi wanita dan isteri solehah. Betapa impian ini yang sering bersemadi di jiwa dan sanubari. Kecewa sungguh, saya masih gagal memenuhi hasrat yang dicita-citakan. Ujian getir sentiasa menanti, ujian nafsu amat sukar sekali untuk diatasi. Betapa saya amat memerlukan sokongan suami, anak-anak, teman serta sahabat sekalian. Jiwa ini merintih sedih, hiba serta kadangkala teramatlah kecewa kerana masih pincang dalam meniti liku kehidupan. Bantulah saya untuk menjadi wanita budiman yang mengutamakan perintah Allah lebih daripada segalanya. Doakan saya, agar dikurniakan Allah kekuatan diri agar tidak melakukan perbuatan yang di murkai.

Sangat kerdil dan sungguh lemah diri ini terasa, godaan dunia amat sukar untuk dilupa kerana masih impikan kebahagian dan keseronokan yang bersifat sementara. Duhai sahabat sekalian, sesungguhnya diri ini amat memerlukan bantuan dan pertolongan serta sokongan yang berterusan, agar sentiasa bertingkah laku yang menyenangkan, terhindar daripada perbuatan dosa yang menyebabkan Allah murka. Tidak sanggup lagi diri ini, untuk menjalani kehidupan seterusnya dengan perbuatan dan perkara yang sia-sia kerana nikmatnya hanya sementara sedangkan faedahnya tiada.

Adakalanya saya tewas dengan pujuk rayu syaitan dan godaan manusia dek kerana buta hati dan singkat pemikiran. Setiap malam muhasabah diri tidak pernah dilupakan, memikirkan tentang kesilapan dan kesalahan yang telah saya lakukan, tetapi amat menyedihkan dan menakutkan kerana kesilapan yang sama masih berulang. Kepadamu keluarga, anak-anak serta teman sekalian saya merayu, sekiranya masih ada perasaan sayang dan kasih terhadap diri ini, bantulah dan berilah nasihat dan sokongan agar kehidupan yang dilalui seterusnya terhindar daripada segala bentuk kemungkaran. Sesungguhnya saya amat mengharapkan ketenangan dan kebahagiaan yang berpanjangan dan berkekalan.

Khusus untuk para suami, bantulah isteri untuk masuk ke syurga nanti. Kesalahan dan kesilapan isteri usah dibiarkan berterusan. Berilah nasihat, teguran serta bimbingan, usah diabaikan tanggungjawab kepimpinan. Segala kesilapan dan kesalahan isteri harap dapat dimaafkan kerana akuilah bahawa isteri juga mempunyai kekurangan dan kelemahan. Seandainya masih ada rasa cinta di hati, kesalahan yang kecil jangan diperbesarkan, kerana faedahnya tiada, kebahagiaan dan ketenanganan juga tidak dapat dinikmati.

Bagi para isteri, marilah kita saling ingat mengingati..untuk mendapat cinta dan kasih sayang suami, kadangkala kita terlebih dahulu perlu memberi. Tanamkan rasa rendah diri apabila berhadapan dengan suami, disulami dengan kelembutan tutur kata serta manis bicara, bertingkah sopan tidak menyakitkan mata, serta berilah penghormatan sewajarnya kerana suami berhak mendapatkannya. Jadilah isteri yang mendengar kata, apabila dinasihat terima sahaja kerana tidak rugi melakukan apa yang suami suka. Terhadap suami usah ada syak wasangka, berdoa sahaja untuk kesejahteraan keluarga dan rumahtangga.

Untukmu teman serta sahabat sekalian, bersama kita bertolongan ke arah kebaikan. Peringatan usah jemu diberikan kerana diri ini terlalu lemah sekiranya dibiarkan berseorangan. Firman Allah SWT; “Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang Mukmin” (Surah Al-Dhariyat: 55). Persahabatan yang ikhlas dan suci amat saya harapkan agar kita terlepas daripada godaan syaitan, dan ujian hawa nafsu dapat dilawan. Harapan saya, agar kita memperoleh kemenangan untuk kesejahteraan diri dan ketenteram perasaan. Kesannya amal ibadat kita dapat dipertingkatkan, perkara yang keji dan mungkar dapat kita jauhkan dan InsyaAllah kehidupan kita akan memperoleh keberkatan.

Anda dan saya, marilah sama-sama kita membulatkan tekad dan berazam, untuk tidak terus melakukan kesilapan dan kesalahan yang boleh menjauhkan kita daripada segala suruhan Tuhan dan seterusnya memberatkan diri kita untuk meninggalkan segala larangan-Nya. Hanya kepada Allah kita panjatkan doa, agar hidayah dan rahmatnya sentiasa mengiringi kehidupan sementara kita di dunia ini. Amin…

Bertemu lagi…

2 comments:

  1. Salam,

    Jumpa blog ni dari FB :). Saya juga, berkongsi perasaan yang sama, sering munasabah, namun tetap mengulang kesalahan yang hampir serupa dan sering ingin menikmati yang sementara.

    Tetap, mujahadah itu sepanjang kehidupan.

    ReplyDelete
  2. Salam, Aszifa, begitu lah kita..mudah-mudahan Allah bantu kita untuk menjadi insan yang terbaik disisiNya. Doa jangan sekali-kali dilupa..ya kita perlu saling ingat mengingati agar tidak hanyut sendiri. Terima kasih

    ReplyDelete