Wednesday, July 7, 2010

Pengorbanan VS Pengertian

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini saya bersama sahabat berkampung di Sepang sehingga hari Jumaat kerana perlu memberi tumpuan sepenuhnya untuk menyediakan laporan kajian. Sebagaimana biasa apabila bertugas di luar begini, kami bekerja siang dan malam bermula jam 8.00 pagi, berhenti makan, solat dan sambung semula sehingga jam 11.00 malam. Inilah yang dinamakan pengorbanan, tinggalkan keluarga buat seketika kerana ada tugasan yang perlu disempurnakan. Bekerja juga merupakan ibadah seandainya ia dilakukan secara tertib dan berhemah tanpa melibatkan unsur lagha yang menjauhkan kita daripada suruhan Allah. Bukan kami tidak mementingkan keluarga, tetapi anggaplah ianya satu latihan seandainya perpisahan benar-benar terjadi apabila kita dijemput menghadap Ilahi. Bukankah kematian itu pasti?

Bagi kaum lelaki, mencari rezeki merupakan tanggungjawab hakiki untuk menanggung keluarga termasuk isteri dan anak-anak. Ya bagi golongan wanita pula, ia sekadar untuk membantu suami bagi mengukuhkan ekonomi rumahtangga. Apabila memikirkan perihal ini..terdetik rasa di hati betapa beruntungnya seorang isteri yang kerja sepenuh masa di rumah, menyediakan makan minum untuk suami dan anak, pahalanya berganda, untungnya pun banyak. Apabila bekerja di rumah, diri lebih terpelihara dan terjaga, pergaulan terbatas dan pastinya maruah diri turut terjamin. Kepulangan suami disambut mesra dengan senyuman terukir di bibir, makanan kegemaran sudah tersedia, ketenangan hati suami sentiasa dijaga maklumlah kita wanita, redha suami paling utama agar keredhaan Allah dapat kita nikmati. Berazamlah, sentiasa membuat pembaharuan dan penambahbaikan demi kerukunan rumahtangga. Marilah kita hayati puisi 'Maafkanku Wahai Suami' yang dipetik daripada Majalah Solusi begini bunyinya...

    Kadang-kadang aku rasa
    Akulah isteri yang terlalu banyak menerima
    Sedangkan engkau tidak pernah meminta
    Kadang-kadang aku rasa
    Akulah isteri yang baru terjaga
    Sedangkan engkau tidak pernah terlena
    Kadang-kadang aku bersuara tanpa berfikir
    Semua perkataanku menjadi salah

Ujian rumahtangga perkara biasa, masam manis pasti ada...Yang penting saling memahami, bertolak ansur, saling menghargai dan saling mempercayai. Jauhi prasangka serta syak wasangka kerana bimbang apa yang kita risaukan itulah akan menjadi nyata. Sebagai isteri, berdoalah sentiasa untuk kesejahteraan suami dan juga keluarga kerana kadangkala apa yang kita rancang dan inginkan itu, tidak semestinya baik untuk kita, kerana Allah Maha mengetahui kerana Dia yang menciptakan kita. Firman Allah SWT; ”Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui”. (Al-Baqarah: 216)

Bagi para isteri yang bekerja di luar rumah, usah gundah dan berdukacita kerana bekerja tiada salahnya yang penting jaga perilaku, batas pergaulan dan tutur kata. Keizinan suami jangan dilupa kerana itulah yang perlu diutamakan seandainya kita telah berkeluarga. Bergaul mesra di pejabat ada batasnya, kerana adakalanya perbualan dengan rakan setugas lebih lama daripada perbualan dengan keluarga di rumah. Justeru baiklah berjaga-jaga kerana tanpa disedari, keakraban di pejabat terbawa ke luar dan akibatnya bertunas perasaan sayang sehingga menimbulkan fitnah. Sebelum nasi menjadi bubur, berhati-hatilah..sudah banyak terpapar di akhbar, betapa cinta terlarang berlaku sudah tidak mengenal usia dan status kerana untuk berhubungan tiada masalah. Facebook, Twitter, Myspace dan blog tidak salah, terpulang kepada kita bagaimana untuk memanfaatkannya. Ya melalui facebook boleh bertemu jodoh, serta boleh juga menyalurkan nasihat, bimbingan dan tazkirah..terpulanglah kepada diri sendiri kerana kita lebih mengerti tentang tujuan dan kehendak hati.

Untuk suami, terima kasih kerana menaruh kepercayaan dan memberi keizinan untuk melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan. Kepercayaan yang diberi tidak akan dipersiakan, walaupun nun di luar sana terlalu banyak godaan. Doa restu dipohonkan agar diri ini tidak terjerat dengan tipu daya syaitan. Bagi anak-anak yang sentiasa memahami dan mengerti, usahlah bersedih kerana sering ditinggalkan. Walau apapun, kalian sentiasa berada dalam ingatan. Anak-anak sumber inspirasi, pembakar semangat dan seterusnya membuatkan diri ini sentiasa bermotivasi kerana harapan cukup tinggi agar yang baik diteladani.

Anda dan saya, tidak kira siapakah kita sama ada bekerja di pejabat atau sebagai pengurus rumah tangga sepenuh masa, kita sama dan serupa ada tanggungjawab dan amanah yang perlu ditunaikan. Lakukanlah apa sahaja dengan ikhlas dan amanah, agar kepenatan tidak terasa kerana memiikirkan untuk mendapat pahala. Seandainya kita terlalu berkira, suka mengungkit dan rasa terpaksa, pastinya pahala jauh daripada kita dan paling ditakuti ianya mendatangkan dosa. Pengorbanan keluarga usah dilupa yang sentiasa bersusah payah kerana kita.

Marilah sama-sama kita berdoa agar segala yang kita lakukan akan dikira sebagai amal kebaikan dan sekiranya terdapat kesilapan dan kesalahan pengampunan Allah yang amat kita harapkan. ”Ya Allah! Kami memohon kepada-Mu supaya terdorong ke arah rahmat dan keampunan-Mu, selamatkanlah kami daripada segala dosa, serta berikan kami segala kebaikan. Semoga kami mendapat kejayaan syurga dan terlepas daripada seksaan azab api neraka”. Amin...

Bertemu lagi...

4 comments:

  1. Terima kasih daun keladi
    Rajin-rajinlah menulis lagi..!

    ReplyDelete
  2. Syukran Mai, sama2lah kita berusaha menjadi 'Siti Khadijah' buat suami , anak2 dan mereka2 disekeliling kita.... Insyaallah. Aamiin.

    ReplyDelete
  3. Salam, Mas n Kak Muni, sokongan Kalian amat dihargai, moga Allah bagi kekuatan untuk menulis lagi. InsyaAllah

    ReplyDelete
  4. “Seorang lelaki ingin daripada seorang wanita untuk menjadi isteri yang ideal, be...rperilaku baik dalam segala hal, dan mencurahkan cinta, penjagaan dan kasih sayang, manakala wanita ingin daripada suaminya agar menjadi seorang yang berperibadi kuat suaminya yang dapat dijadikan pergantungan, yang mampu memenuhi keperluan mereka, dan dapat memberikan keyakinan bahawa merekalah wanita terakhir di dalam hidupnya. Kepada golongan suami, jadilah insan yang terbaik kepada isteri anda!”

    ReplyDelete