Monday, June 28, 2010

Bersangka Baik: Keuntungannya Berganda

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam saya terserempak dengan seorang rakan lama di pasaraya yang berdekatan sewaktu membeli barang keperluan. Sudah agak lama tidak berjumpa menyebabkan saya tidak dapat mengenali dirinya lagi. Alhamdulillah diri saya masih dikenali dan diingati lalu disapa dan seterusnya rakan saya memperkenalkan diri. Saya sungguh teruja, kami bersembang tanpa henti, bercerita tentang keluarga dan perihal diri sendiri. Ya antara kami banyak sekali perubahan diri, dari saiz badan, ketrampilan diri serta lenggok percakapan cukup jelas perbezaan antara dahulu dan kini. Pengalaman dan ilmu yang dimiliki telah merubah cara gaya dan penampilan tanpa kita sedari.

Bercakap berkenaan ketrampilan diri, ianya bukan berkaitan dengan pakaian yang kita pakai sahaja, tetapi ia juga merangkumi gaya percakapan dan bahasa yang digunakan, lirik mata apabila memandang serta gerak badan sewaktu bersembang. Pembawaan diri turut mencerminkan keyakinan diri, keunggulan peribadi dan ilmu yang dimiliki. Justru berfikir sejenak sebelum berkata-kata adalah lebih baik daripada melulu berbicara, bersopan dan tertib menyusun kata adalah lebih baik daripada tergopoh gapah untuk mengetengahkan idea, dan pandangan mata kita perlu bersahaja agar tidak membangkitkan rasa curiga. Ya jagalah perilaku kita agar ianya tidak tercela kerana diri kita masih ada yang memandang dan melihat seterusnya dinilai siapakah sebenarnya kita.

Alangkah baiknya seandainya kedapatan teman yang dapat membantu menjadi cermin diri, agar kita lebih mengenali diri sendiri. Kesilapan tingkah laku sanggup diteguri agar kelemahan diri dapat diatasi. Rugilah sebuah persahabatan seandainya kesilapan diri dibiarkan berterusan dan akhirnya menjadi bahan bualan, sedangkan diri sendiri tidak menyedari bahawa tutur kata dan tingkah laku tidak disenangi oleh orang yang didampingi.

Sesungguhnya kita masih belum terlewat untuk melakukan perubahan diri. Teguran dan pandangan sahabat usah dipandang sepi walaupun kadang kala terasa malu dengan kekurangan dan kelemahan diri yang tidak disedari. Malu sahaja tidak membawa erti, apa yang penting kesediaan dan kemahuan untuk memperkasakan diri. Elakkan daripada berprasangka yang tidak baik apabila menerima teguran kerana diri sendiri akan kerugian. Bersangka baik lebih menguntungkan, jiwa tenang, dan minda terasa lapang. Sahabat sejati tidak akan membiarkan diri kita berterusan diuliti mimpi dan berada di alam fantasi tetapi sebaliknya kita akan dibawa bersama untuk berpijak di bumi nyata dan berhadapan dengan realiti.

Mulai hari ini, ayuh kita sama-sama berganding bahu dan bertolongan demi memelihara maruah diri dan menjaga keimanan. Sentiasa bersangka baik terhadap nasihat dan pandangan yang diberikan oleh sesiapa sahaja. Usah dibiarkan penyakit hati menguasai diri kita. Syak wasangka akan memusnahkan diri apatah lagi penyakit hasad dan juga dengki akan menggugatkan kesejahteraan diri. Pelihara hati dan jagalah hati, hanya iman yang dapat membantu meningkatkan kualiti peribadi. Rasulullah SAW bersabda; “Di dalam tubuh manusia wujud segumpal darah, jika elok gumpalan darah itu, maka eloklah seluruh tubuh, jika rosak gumpalan darah itu maka rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah bahawa segumpal darah itu ialah hati”.

Alhamdulillah..anda dan saya, sungguh beruntung diri kita kerana masih ada yang sudi membantu dan menegur terhadap apa jua kesilapan dan kekurangan yang ada. Terimalah teguran dengan lapang dada, bersyukurlah masih ada yang mengambil berat tentang kita. Berdoalah agar bantuan Allah sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita. “Ya Allah ya Tuhan kami, janganlah Engkau tinggalkan kami dalam keadaan yang berdosa kecuali engkau ampunkan dosa kami, tiada dalam keadaan sakit kecuali Engkau sembuhkan penyakit kami, tiada dalam berduka kecuali Engkau hilangkan perasaan kedukacitaan kami, tiada dalam keadaan dizalimi melainkan Engkau memberi pertolongan, tiada dalam keadaan hajat melainkan Engkau tunaikan hajat-hajat kami itu sama ada di dunia dan juga di akhirat.” Amin.

Marilah kita sama-sama ketepikan rasa curiga sesama kita, elakkan persengketaan kerana kita bersaudara. Aturkan langkah untuk hijrah diri kearah yang lebih baik agar kehidupan bukan sahaja mendatangkan faedah kepada diri sendiri tetapi dapat juga memberi manafaat kepada orang lain.

Bertemu lagi...

No comments:

Post a Comment