Thursday, June 10, 2010

Erti Sebuah Kepercayaan

Bismillahirrahmanirrahim...

Dalam persahabatan, kita amat mengharapkan agar wujud keserasian, persefahaman, toleransi dan yang paling penting ialah saling percaya mempercayai antara satu sama lain. Kepercayaan dan keyakinan merupakan satu kurniaan yang tidak dapat kita beli dengan wang ringgit tetapi ia terjelma akibat personaliti, perwatakan, tindak tanduk serta kejujuran dan keikhlasan diri. Sebagai manusia, kita tidak mampu hidup bersendirian...kita sering memerlukan bantuan dan pertolongan, jadi amat penting untuk memelihara hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia agar kehidupan kita memperoleh sejahtera bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat yang kekal abadi.

Tidak dapat dinafikan, adakalanya amat sukar untuk mencari sahabat sejati yang kita boleh bergantung harap, yang bersedia untuk bersama-sama waktu susah dan senang, bertolongan dalam menjaga maruah dan harga diri dan sentiasa berpesan dengan kebenaran dan dengan penuh kesabaran. Alhamdulillah...saya merasakan satu kurniaan yang hebat apabila kedapatan sahabat yang masih menaruh kepercayaan dan amanah dalam menjalin persahabatan, majikan dan ketua yang masih menaruh kepercayaan dan keyakinan kepada saya untuk melaksanakan tugasan, serta keluarga yang sentiasa merestui dan mempercayai langkah saya untuk keluar bekerja serta berbakti kepada masyarakat.. Kepercayaan dan keyakinan yang kalian berikan merupakan satu penghargaan dan anugerah yang tidak ternilai, kerana ia bukannya tertera di kertas dan sijil tetapi tertanam di hati dan sanubari serta tidak mungkin dapat dijual beli.
Ya..bukan mudah untuk kita mempercayai seseorang, dan tidak senang untuk kita memperoleh kepercayaan daripada orang lain. Justeru apabila kita telah memperolehnya jangan sesekali kita persiakan, kerana seandainya kepercayaan terlepas daripada genggaman akibat tindak tanduk dan perbuatan maka amat sukar untuk kita meraihnya semula. Jadi, peliharalah hubungan yang sedia terjalin sebaik mungkin berbekalkan kasih sayang serta bersenjatakan kejujuran dan keimanan. InsyaAllah...silaturrahim akan kekal berpanjangan.

Sakit sekali apabila kepercayaan yang diberi telah dikhianati. Sewaktu berbaik, kita saling menyangjung dan memuji..tetapi apabila wujud kekeruhan dan tergugat keharmonian..kebaikan mudah tenggelam dan terus terpadam dalam ingatan. Yang dicari, diungkit dan diingati hanyalah kesilapan dan kesalahan, dan salah yang sedikit terus diperbesarkan, aib berterusan dibongkar tanpa merasa belas kasihan kerana untuk menunjukkan kemenangan bukan berlandaskan kebenaran.

Walau bagaimanapun anda dan saya, demi untuk kesejahteraan sebuah persahabatan kerana Allah...jangan menjadikan diri kita sebagai pendorong kepada permusuhan, sentiasa menasihati sahabat ke arah kebaikan dan yang paling penting penyakit hati perlu dihindarkan. Berlapang dada dan akuilah setiap kita ada kelemahan. Sekiranya wujud syak wasangka, usah biarkan ianya berpanjangan, bersemukalah untuk memohon penjelasan agar kekeruhan tidak berpanjangan hingga menggugat ketenangan. Sahabat sekalian, seribu kemaafan saya pohon seandainya ada kata yang mengguris rasa, ada perbuatan dan perlakuan yang merobek jiwa, kerana mungkin ia berlaku tanpa diduga dan di bawah sedar saya.

Anda dan saya...marilah sama-sama kita bersahabat dengan penuh kasih sayang, moga persahabatan kita menjurus ke arah kebaikan dan mendapat keredhaan Allah Yang Maha Esa. Justeru amat penting untuk kita saling memperingati dan berpesan agar tidak berterusan melakukan kesilapan atau kesalahan sekiranya kita benar-benar menghargai sebuah persahabatan, untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan agar manisnya persahabatan dapat sama-sama dirasai dan dinikmati. Firman Allah SWT; “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat makruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barang siapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak kami memberi kepadanya pahala yang besar" (Al-Nisa’: 144).

Bersamalah kita memohon ke hadrat Allah SWT moga rahmat Allah sentiasa mengiringi perjalanan kehidupan kita.. “Ya Allah kurniakanlah naungan rahmat-Mu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami. Janganlah, ya Allah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri walaupun pada kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih singkat daripada itu. Ya Allah, Ya Tuhan kami, Engkau Tuhan Yang Maha Memperkenankan segala permintaan kami," Amin...

Bertemu lagi...

1 comment:

  1. salam kasih ukhuwah untuk dr.

    -terima kasih tak terhingga.Apabila bercakap ttg 'erti kepercayaan'..teringat dan terbit rasa rindu pada bekas pengetua saya dulu, yg selalu berikan nasihat dan tazkirah.saya mula belajar dan faham, kepercayaan tu merupakan satu penghargaan. -
    setiap hari, saya akan buka blog dr. untuk saya muhasabah diri, sebagai manusia biasa, saya sendiri ada salah silapnya, dan kadang-kadang tak jumpa cara yg betul, tapi melalui blog dr, saya jumpa apa yg patut dan apa yg tak patut bila berada dlm dunia 'kerja'.sebagai pekerja yg baru mencecah 3 tahun berkhidmat,terasa begitu berbeza berada dlm dunia sebagai 'pelajar' dan dunia sbg 'pekerja'.terima kasih.jumpa lagi

    -rohimah, gerik, perak.

    ReplyDelete