Monday, June 14, 2010

Kenapa Gersang Cinta di Hati?

Bismillahirrahmanirrahim…

Hidup ini tidak selalunya indah. Memang kita mengharapkan panas sampai ke petang tetapi rupanya turun pula hujan di tengah hari. Kadangkala tiada gelombang, tiada angin tiba-tiba tsunami pula yang melanda. Begitulah ertinya sebuah kehidupan ada pasang surutnya, sekali banjir..tepian pantai turut berubah. Ya begitulah lumrahnya kehidupan, yang dirancang mungkin tidak akan berlaku, yang diharapkan juga mungkin tidak akan kesampaian kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Perjalanan dan pengalaman hidup itulah yang akan membantu mendewasakan kita, agar kita terus tabah untuk mendayung sampai ke kuala.

Petang semalam, saya dikunjungi oleh seorang teman yang begitu akrab semasa sama-sama menuntut ilmu di menara gading. Kunjungan beliau yang tidak disangka-sangka sungguh membuatkan saya teruja, maklumlah sudah lama tak bersua muka, apatah lagi untuk bertentang mata. Kedatangannya saya sambut mesra, walaupun di benak fikiran timbul persoalan, apakah gerangan membawa beliau ke mari kerana tempat tinggalnya jauh sekali melangkau lima jam perjalanan untuk sampai ke sini. Sambil bersimpuh sahabat saya mula bercerita, meluahkan perasaan terbuku di dada bukan kerana apa..tetapi kerana memohon nasihat dan pandangan apa yang patut beliau lakukan kerana diri beliau cukup terasa bahawa suami tingkahnya sungguh berbeza sama sekali, sudah tidak semesra dulu, gurau senda sudah tiada lagi, percakapan terbatas dan senyuman pula jarang berbalas. Entah apa puncanya, katanya dia sendiri tidak mengerti dan kurang pasti. Jelasnya lagi, dulu suaminya tidak sebegini, apabila beliau merajuk cepat sekali suami memujuk, walaupun kesalahan berpunca daripada dirinya..suami sentiasa mengalah tanpa diminta dan disuruh. Ya..mungkin kerana itu sahabat saya tidak pernah merasa bersalah kerana tindak tanduknya sebelum ini suami tidak kesah kerana sangkanya dirinya begitu dicintai dan disayangi menyebabkan suami langsung tidak berani memarahi.

Ya..perubahan yang berlaku pasti ada puncanya, kesilapan sendiri perlu dicari, mungkin kedapatan tempang layanan yang diberi, bertingkah laku pincang menyakitkan mata memandang atau mungkin dek kerana tutur kata dan bicara yang mengguriskan hati membuatkan suami sahabat saya terasa hati kerana merasakan dirinya tidak dihargai dan dihormati sebagai pemimpin rumahtangga yang bergelar suami. Apabila perasaan sudah terluka, pasti hubungan menjadi hambar dan tidak ceria, kesannya kemesraan terhakis sudah dan kalau dibiarkan mungkin akan menjadi barah. Sebagai isteri usah terlalu keras hati, selagi suami tidak mengabaikan keluarga, nafkah dijaga dan tunjuk ajar tidak pernah dilupa, demi kebahagiaan beralahlah saja. Ya..yakinlah sahabatku, sebagai isteri kita tidak akan rugi. Justeru mudah saja, mohonlah kemaafan daripada suami, katakan kesilapan yang lalu tidak akan berulang lagi, kerana sebagai isteri keredhaan suami mengiringi keredhaan Ilahi. Marilah kita berkongsi kata-kata seorang suami buat isterinya, mungkin boleh dijadikan panduan dalam melayari bahtera rumahtangga:

Maafkan aku, kan abadi cintaku

Janganlah kamu imbangi kemarahanku

Jangan kau pukul perasaanku

Kau tidak tahu rasanya orang kehilangan

Jangan kau suka mengadu

Cintaku akan hilang

Kulihat singa di hati ini

Jika disakiti ia akan lari.

(Petikan Imam Al-Ghazali-Mukashah Al-Qulub)

Ya benar sekali..dalam kehidupan berumahtangga, saling hormat menghormati perlu ada, perlu berani bersuara mencurah rasa untuk memahami dan saling mengenali agar mudah terungkai segala kekusutan di hati. Sekiranya timbul kekeruhan atau syak wasangka, usah biarkan ia berlarutan dan berpanjangan, segeralah mencari jalan penyelesaian sekiranya masih ada perasaan sayang. Untuk para suami, kalaupun sayang amat kepada isteri, kesilapan isteri jangan didiamkan sahaja..kelak diri sendiri yang merana apabila isteri tidak lagi menghormati suami, boleh berbicara sesuka hati kerana merasakan dirinya amat dicintai dan tidak mungkin suami mencari pengganti.

Kepada sahabat saya berpesan, mengaku sahaja sekiranya ada melakukan kesilapan dan kesalahan..kerana kelak nanti suami semakin sayang, maka rumahtangga akan kembali aman. Tawanlah hati suami dengan penuh cinta dan kasih sayang, dihiasi pula dengan senyuman dan kelembutan, kerana kecantikan semata-mata tanpa disaluti budi dan pekerti yang mulia akan menjadi sia-sia ibarat barangan tiruan, cantik di luar tetapi di dalamnya tiada berkualiti dan tidak berharga...menyebabkan ia gagal bertahan lama.

Harapan saya, moga kehidupan sahabat kembali menemui ketenangan, yang keruh kembali dijernihkan..yang penting mengakui kesilapan. InsyaAllah...keberkatan hidup yang kita harapkan dan keredhaan suami yang kita perlukan demi mendapatkan keredhaan Allah Yang Maha Penyayang. Anda dan saya, moga diri kita sentiasa di bawah lindungan dan peliharaan Allah, moga sebarang ujian yang menimpa dapat ditempuhi dengan penuh tabah dan sabar kerana InsyaAllah..kelak kemanisan dan kelazatannya akan dapat dinikmati jua. Amin.

Bertemu lagi…

No comments:

Post a Comment