Tuesday, June 22, 2010

Bual Bicara: Batasnya Ada

Bismillahirrahmanirrahim...

Pada minggu ini saya bertugas luar, ada tugasan urgent perlu diselesaikan segera. Kami sembilan orang semuanya bertungkus lumus menyiapkan laporan kajian daripada jam 8.30 pagi hingga jam 5.30 petang dan bersambung pula pada jam 8.00 hingga pukul 11.30 malam. Kedengaran begitu memenatkan, tetapi kami perlu komited dengan tanggungjawab yang diberikan. Alhamdulillah ahli pasukan kajian semuanya dedikasi dan begitu bersungguh-sungguh berusaha untuk menyempurnakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Yang paling penting ialah fokus, InsyaAllah matlamat akan dapat dicapai jua.

Bekerja dalam kumpulan amat banyak faedahnya kerana semangat kebersamaan dan kekitaan dapat dikecapi bersama-sama. Justru itu bagi membantu merealisasikan hasrat, kadangkala kita perlu kurang bercakap..usah berbual tanpa tujuan kerana tanpa kita sedari banyak masa akan terbuang begitu sahaja. Sudah menjadi lumrah manusia, apabila berjumpa suka bercerita. Ya kalau boleh semuanya ingin dikongsi tanpa mengambil kira akan kesan dan akibatnya kalau kedapatan perkara yang perlu dirahsia. Asyik berbicara dan bekata-kata, kadangkala membuatkan kita sering terlupa, bukan semua perkara yang kita dengar dan yang kita tahu perlu kita bercerita. Rasulullah SAW bersabda ”cukuplah seseorang itu boleh dianggap pembohong apabila semua yang dia dengar, dia bercerita” (Riwayat Muslim).

Seronok bercerita bukan sahaja membazir masa secara sia-sia tetapi bimbang pula, semakin banyak kita berbicara semakin bertambah pula dosa. Dalam asyik berkata-kata, tanyalah diri kita, ada atau tidak kita mengata, memburukkan sesiapa atau mereka-reka cerita untuk tujuan berseronok sahaja. Adakalanya kata-kata kita boleh menyakiti, membuat orang lain berkecil hati. Mungkin juga ia boleh menjadi penyebab kepada berlakunya perpecahan antara dua sahabat, atau mempengaruhi jiwa lain untuk membenci atau memandang rendah pada mereka yang menjadi bahan tajuk bicara. Ya takut dan risau sekiranya kerana mulut mengheret kita pula ke neraka.

Ada baiknya kalau kita mendapat atau mendengar khabar berita, pastikan semak dan periksa dahulu akan kebenarannya. Jika apa yang didengar palsu dan rekaan semata-mata lupakan saja ia. Hatta kalau ianya merupakan satu kebenaran sekalipun, tanya pada diri sendiri..patutkah berita tersebut dikongsi dengan orang lain? Kita tidak mahu menjadi agen penyebar fitnah, mencaci dan menyakiti kerana ia adalah perbuatan yang keji. Hari ini mungkin kita bermegah dengan kehebatan kita mengeluarkan hujah tetapi mungkin suatu hari nanti, balasan Allah tidak tertanggung oleh kita apabila akhlak sebenar kita terserlah, maka harga diri langsung tiada lagi, akhirnya mungkin kita akan kehilangan sahabat yang sejati.

Ya benarlah pepatah berkata kerana mulut badan binasa kalau kita tak berjaga-jaga mengeluarkan kata. Berkata mengikut rasa bahayanya bukan terhadap diri sendiri sahaja tetapi juga kepada orang lain yang mendengar isi cerita. Sering kedengaran oleh kita, apabila tersilap berkata-kata sahabat bertukar menjadi musuh, isteri terpisah daripada suami, keluarga berantakan, dan konflik juga boleh berlaku dalam organisasi. Kesannya kepercayaan dan keyakinan sesama sendiri tiada lagi.

Justru, anda dan saya..daripada berterusan bercerita tanpa faedahnya, lebik baik diam sahaja. Berilah fokus kepada kerja, jangan biarkan diri kita kekosongan seolah-olah tiada apa yang ingin dan hendak dilakukan. Kalau kita terlebih masa..pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan diri kita. Marilah sama-sama kita muhasabah diri dan bertekad untuk berkata-kata berkenaan perkara yang baik-baik dan berfaedah sahaja sama ada untuk diri sendiri atau untuk orang lain juga. Nikmat Allah mesti dipelihara, insafilah kerana ada antara kita yang tidak boleh berkata-kata apatah lagi untuk mengeluarkan suara. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada.

Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT agar lidah dan lisan kita sentiasa terpelihara kerana lemahnya kita, kurang berhati-hati apabila berbicara, dan mudah terpengaruh mendengar kata-kata yang belum tentu kebenarannya.

” Ya Allah, kurniakanlah kami lidah yang lembut basah kerana mengingti dan menyebut nama-Mu, hati yang penuh segar mensyukuri nikmat-Mu dan tubuh badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintah-Mu”. Amin
Moga anda dan saya, kita saling memperingati sentiasa, kerana kita mudah dan sering terlupa.

Bertemu lagi...

2 comments:

  1. assalamualaikum.
    bertemu semula dgn dr. yg sgt saya hormat..

    sering kali diingatkan pada hati, agar dpt menjaga lidah daripada menuturkan perkara-perkara yg tak baik dan sia-sia..namun sebagai manusia yg lemah..pasti ada silapnya saya.betullah kata pepatah..'bila byk ckp..akan byklah salahnya..Tapi bila kita lebih banyak diam dan mempamerkan senyuman ..lain pula tafsiran yg dibuat oleh segelintir org..
    kadang-kadang timbul perasaan serba salah..samada memberikan pendapat yg berkemungkinan ditafsirkan positif(alhamdulillah) mahupun negatif(emm)..atau hanya mendiamkan diri merupakan satu penyelesaian yg terbaik

    -siti rohimah, gerik, perak-

    ReplyDelete
  2. salam siti, terima kasih kerana sentiasa memberi dorongan kepada saya ntuk tersu menulis lagi, agar manafaat sekiranya ada, dapat kita kongsi bersama.

    ReplyDelete