Monday, May 3, 2010

Erti Sebuah Persahabatan

Bismillahirrahmanirrahim...

Kenangan bersama teman-teman sewaku di kampus dahulu masih segar dalam ingatan. Tebayang-bayang di mata gelak ketawa, suka dan duka mengisi setiap ruang waktu yang ada. Zaman kampus sungguh membahagiakan dan kalau boleh diulangi semula, saya teringin sekali kembali kepada zaman silam. Sewaktu di kampus kami saling bantu-membantu, maklumlah mak dan ayah jauh..tiada di sisi, semuanya kena berdikari. Alhamdulillah..kami mampu mengurus diri dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman serta rakan-rakan seperjuangan. Banyak yang kami belajar termasuk erti sebuah kehidupan, tentang manisnya persahabatan dan keperluan menilai dan meneliti dalam memilih kawan.

Sewaktu di kampus saya mula mengenali erti usrah, tamrin, tazkirah dan qiamullail. Syukur kerana saya telah dipilih oleh Allah SWT untuk berkenalan dengan mereka yang menunjukan kecintaan terhadap Islam dan seterusnya berusaha untuk menghayati dan mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Damai rasanya hati apabila saban minggu saya menyertai majlis-majlis ilmu seperti usrah, banyak ilmu dan perkara baru yang saya pelajari dan menyedarkan saya betapa sedikitnya ilmu mengenali Allah yang saya milki. Rindunya saya dengan usrah dan sahabat sekalian kerana kekerapan pertemuan menyebabkan kita menjadi begitu akrab dan ukhuwwah kita tersimpul erat. Indahnya apabila hati-hati kita disatukan kerana Allah di atas tujuan dan matlamat yang sama, ingin mencari keredhaan Allah berpaksikan fikrah yang sama. Masih kekal di ingatan saya apabila menyertai program qiamullail, dua pertiga malam kita sama-sama bangun untuk menghidupkan malam dengan solat tahajjud, mengerjakan solat subuh berjamaah dan yang paling saya tidak lupakan bacaan Al-Mathurat kekal menjadi amalan setiap waktu selepas solat fardhu subuh dan Asar. Bacaan Al-Mathurat menyebabkan hati menjadi tenang, tidak culas untuk beribadah dan jiwa pula menjadi tenteram. Apabila terkenangkan itu semua, perasaan menjadi sayu dan pilu kerana apabila berseorangan, saya menjadi selemah-lemah insan, gagal istiqamah dalam amalan. Indahnya persahabatan- ukhuwwah fillah tiada tandingan. Ukhuwwah boleh membuatkan kita rasa bahagia, ukhuwwah juga boleh membuatkan kita memperoleh ketenangan dan kadangkala juga membuatkan kita resah dan gundah. Ukhuwwah Islamiah suatu ikatan yang luar biasa..hanya yang mengalaminya sahaja dapat merasai kehebatannya.

Kini, Alhamdulillah..saya tidak keseorangan kerana saya masih dikelilingi oleh sahabat-sahabat serta adik-adik yang ikhlas menyayangi dan mengasihi, sentiasa berada di sisi apabila diperlukan, tanpa jemu berpesan dengan penuh kesabaran dan tidak lokek berkongsi pengetahuan. Ya..kawan yang baik, sahabat sejati merupakan rezeki yang tidak boleh dijual-beli dan tiada tolak banding nilainya. Saya teringat senikata lagu kumpulan Hijjaz antaranya “Alangkah susahnya mendapat kawan, bukan kenalan di zaman ini, berpunca dari hati yang rosak, kerana dunia memautnya... Alangkah susah mencari kawan, kebaikan kita disoroknya, bahkan didengkinya pula, kejahatan dicanang merata... Salah yang sedikit dibesarkan, yang besar apatah lagi, alangkah sepi dunia ini, walaupun hidup di tengah ramai...”

Ya..tidak dapat dinafikan, pemilihan sahabat amat penting kerana sahabat boleh mempengaruhi kita, boleh memusnahkan kita dan boleh juga membuatkan kita terkeliru dengan matlamat kehidupan sebenar. Justeru, pilihlah sahabat yang boleh membawa kita mencintai dan mendekatkan diri kepada Allah. Persahabatan yang terjalin sewajarnya dapat membantu menjadi pembakar semangat dalam mengejar cita-cita, pendorong kepada azam yang kita bina dan saling bertolongan dan bekerjasama sewaktu susah dan senang. Sahabat sewajanya mampu menjadi cermin diri untuk menyedarkan kita daripada berterusan melakukan kesilapan dan kesalahan, menyedarkan kita erti dosa dan pahala serta mengingatkan kita tentang syurga dan neraka.. Harapan kita, saya dan anda agar kita tergolong dalam kalangan orang yang dinaungi oleh Allah SWT pada hari yang tiada naungan selain naungan Allah iaitu “Ada tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah pada hari tiada naungan melainkan naunganNya. Dua lelaki yang berkasih sayang kerana Allah serta bertemu dan berpisah hanya kerana Allah”. Alhamdulillah..sebuah persahabatan yang dihulurkan dengan ikhlas, beramuankan kasih sayang dan ukhuwwah fillah amat saya hargai. Sahabat sekalian, jasamu dikenang, budimu disanjung, keluhuranmu berkekalan dalam ingatan dan tunjuk ajar serta nasihatmu, InsyaAllah tersemat di sanubariku. Terima kasih sahabat...

Untuk anak-anak, harapan ummi telitilah dalam menjalinkan persahabatan, ummi bimbang anak-anak ummi akan kecundang, maklumlah situasi sekarang amat membimbangkan. Harapan ummi solat lima waktu jangan diabaikan kerana itulah saja benteng pertahanan yang dapat membantu anak-anak ummi daripada bertindak mengikut rasa dan membuat sesuatu mengikut selera semata-mata. Bantulan ummi untuk mendidik anak-anak agar menjadi anak yang soleh dan solehah. Doa dan restu ummi sentiasa mengiringi perjalanan hidup kalian...

Bertemu lagi...

No comments:

Post a Comment