Sunday, May 2, 2010

Teguran - Antara Cinta dan Sayang

Bismillahirrahmanirrahim...

Dalam setiap perbualan dan percakapan kadangkala kita tidak dapat mengelak daripada melakukan kesilapan dalam menyusun kata-kata walaupun bukan tujuan kita untuk mewujudkan sengketa atau suasana yang tidak selesa tetapi apakan daya ianya berlaku juga. Kehidupan seharian kita, kadangkala penuh dengan duka dan sengsara dan ada harinya juga kita merasa amat gembira dan bahagia. Itulah yang dinamakan liku kehidupan..asam garam, manis dan masam seiring sejalan, secukup rasa. Saya terkenangkan perbualan saya dengan seorang teman semalam, katanya “sepanjang kehidupannya, dia sukar untuk menerima teguran hatta kalau dia melakukan kesilapan…teguran perlu ikut situasi dan perlu mengambil kira perasaan orang yang ditegur… Kalau tidak kena gayanya, diri saya terasa tercabar..” Ya.. bukan sahabat saya sahaja yang bersikap sedemikian tetapi mungkin kadangkala anda dan saya juga begitu apabila berhadapan dengan teguran.

Bagaimana cara yang mudah untuk kita menerima teguran? Tentu sukar bagi kita untuk meminta orang yang menegur kita agar membuat teguran secara bijaksana dengan penuh sopan dan bermakna agar kita mudah menerima. Bersyukurlah..masih ada yang sanggup memberi teguran kepada kita. Kesudian mereka memberi teguran sudah tidak ternilai harganya. Tetapi realtinya, selembut mana teguran diberi kita masih sukar menerimanya kerana kita ada penyakit ego dan prinsip yang tersendiri. Teguran tanda sayang, kalau orang tak sayang bermakna dia akan biarkan kita berterusan membuat kesilapan dan kesalahan. Kita sangkakan apa yang kita lakukan semuanya betul, percakapan kita diterima pakai dan pandangan kita diambilkira sedangkan hakikatnya kita asyik dengan diri kita tanpa kita sedari akan kekurangannya.

Alhamdulillah..bersyukurlah sekiranya masih ada yang sudi membuat teguran terhadap kita kerana ini melambangkan mereka masih mengambil berat, menyayangi dan mengasihi kita dan tidak membiarkan kita terus leka. Oleh itu, sebarang teguran kita perlu ambil perhatian, hindari prejudis dan prasangka kerana ia membataskan diri kita daripada bersifat terbuka... Yakinlah, InsyaAllah akan ada hikmah di sebaliknya. Setiap teguran akan dapat membantu membangunkan diri kita, mencungkil potensi yang ada dan membuatkan kita berfikir dan melakukan muhasabah diri sentiasa kerana mungkin selama ini kita merasakan diri kita telah sempurna dan tiada cacat celanya. Walau bagaimana cara teguran diberi, sebagai penerima ambillah secara positif, berlapang dadalah apabila mendengarnya dan amalkan keterbukaan kerana ia akan membantu meningkatkan kualiti dan maruah diri. Menerima teguran bukan bermakna kita lemah dan tewas sebaliknya akan dapat membantu memulihkan dan mengembalikan ketinggian harga diri. Oleh itu anda dan saya elakkan daripada menuding jari kepada orang yang memberi teguran walaupun mungkin bagi kita situasinya tidak berapa kena, tetapi ambillah ia sebagai suatu pengajaran kerana mencari kesalahan orang lain tiada untungnya. Seorang ulama ada berkata, “dan dengarlah teguran walaupun ia datang daripada musuhmu”.

Saya dan anda, yakinlah apabila kita melapangkan hati kita untuk menerima teguran dan sentiasa bersedia untuk memberi kemaafan, maka hati dan jiwa kita menjadi lebih tenang dan kehidupan kita tidak akan terancam serta menjadi lebih tenteram. Ya..apabila kita sudi menerima teguran ia sekaligus mencerminkan peribadi kita kerana kebiasaannya orang yang bersedia mendengar teguran ialah mereka yang berilmu dan penyabar sahaja. Mudah-mudahan anda dan saya tergolong dalam kalangan orang yang pemaaf dan penyabar serta sentiasa berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan penuh kesabaran. Marilah kita sama-sama membuang perasaan ego yang tidak menguntungkan, menyingkirkan perasaan marah dan panas baran yang membuatkan kita bertindak mengikut perasaan, kesannya kehidupan kita sering rasa tertekan dan kecelaruan minda dalam membuat keputusan. Sesungguhnya TEGURAN LAHIR DARIPADA PERASAAN CINTA DAN SAYANG.

Bertemu lagi...

1 comment:

  1. Setuju dgn kakak..berlapanglah menerima teguran kerana teguran itu datang dgn kasih sayang..mudah2an kita tidak lalai dan leka..insyaAllah...

    ReplyDelete