Tuesday, May 4, 2010

Waktu Pagi Satu Permulaan

Bismillahirrahmanirrahim...

Kita sering terdengar ungkapan mengatakan perjalanan hidup kita, apa yang kita lakukan dan apa yang kita lalui, kita sering mengharapkan hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. Ya kerana saya dan anda sering bercita-cita untuk membuat perubahan ke arah kebaikan secara berterusan. Saban hari kita berpagian ke tempat kerja dengan harapan agar dapat melangsaikan segala tugasan yang diamanahkan agar kerja kita tidak tertangguh dan kita mampu menyelesaikannya secara berkesan mengikut perancangan.

Walau bagaimanapun, kadangkala kita tidak dapat menafikan bahawa kita sering terbawa-bawa dengan masalah atau tekanan dari rumah ke tempat kerja. Perasaan kecewa dan duka lara turut sama mengiringi perjalanan kita. Kesannya kita tidak dapat memberi tumpuan terhadap tugas dan hasilnya amat mengecewakan. Alangkah bagusnya kalau kita mampu dan dapat mengenepikan perihal urusan rumahtangga atau urusan peribadi apabila sampai di tempat kerja. Kenapa tidak kita bersama-sama berusaha untuk menjadi lebih fokus terhadap apa yang kita lakukan. Marilah kita mulakan kehidupan kita seharian dengan menadah tangan ke hadrat Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan, diberkati segala tindakan dan dirahmati segala usaha yang kita lakukan.

Alhamdulillah...panjatkanlah kesyukuran kerana kita masih diberi peluang meneruskan kehidupan untuk melakukan yang terbaik pada hari ini dibandingkan dengan apa yang telah kita lakukan semalam. Bersegeralah memohon maaf atas sebarang kesilapan dan berilah kemaafan kepada sesiapa sahaja yang kita fikirkan mereka telah melakukan kesalahan atau telah mengguris perasaan. Memohon maaf tidak akan merendahkan maruah diri dan memberi kemaafan juga tidak rugi sebaliknya ia membuatkan diri kita melalui kehidupan seharian dengan lebih tenang seolah-olah terlepas daripada segala bebanan, hati kita menjadi senang dan jiwa kita lebih tenteram. Natijahnya, kita lebih bermotivasi dan bersemangat serta terpelihara daripada berprasangka terhadap teman-teman.

Waktu pagi adalah satu permulaan, jadi sewajarnya kita perlu berazam untuk membaiki diri, dan memajukan diri sendiri. Bismillah mengiringi punch card di tangan…anda perlu memasang niat untuk lebih bersemangat dan berusaha untuk menuju kecemerlangan pada hari ini dengan menguruskan masa secara berkesan dan memohon agar tugasan yang kita lakukan hari ini mendapat keberkatan. Mulai hari ini pastikan ada perubahan diri yang kita lakukan kerana Allah masih membuka peluang untuk kita membuat panambahbaikan. Nabi saw berpesan, "Ingatlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; iaitu waktu sihat sebelum waktu sakit, waktu senang sebelum waktu susah, waktu muda sebelum waktu tua, waktu kaya sebelum waktu miskin dan waktu lapang sebelum waktu sibuk.." (Riwayat Imam Hakim). Jadi bersegeralah agar saya dan anda tidak kerugian kerana kita sama-sama masih ada peluang untuk berubah ke arah kebaikan dan menggapai kecemerlangan demi mendapatkan keredhaan Allah SWT bagi setiap perkara yang kita lakukan, mudah-mudahan dinilai sebagai suatu amal ibadat, insyaAllah...

Bertemu lagi...

3 comments:

  1. Pagi semalam terpaksa buat keputusan ambil EL sebab takut masalah anak yang kurang sihat akan mempengaruhi tugasan di pejabat. Kadang-kadang memang sukar membuat keputusan terbaik bila terpaksa buat pilihan, keluarga atau kerja?

    ReplyDelete
  2. MZM, walau apa pun keluarga perlu diutamakan, isteri solehah, ibu sejati sewajarnya urusan rumahtangga didahului, mencari nafkah sekadar membantu bukan tanggungjawab hakiki. Moga Allah memberkati.

    ReplyDelete
  3. mzm, walau apapun urusan rumahtangga perlu didahulukan, isteri solehah, ibu sejati, pendidik generasi. Mencari nafkah bukan tugas hakiki, sekadar membantu dalam menjana ekonomi. Moga Allah meredhai.

    ReplyDelete