Saturday, May 1, 2010

Kenapa Kita Bekerja???

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah hari ini 1 Mei hari pekerja, setiap tahun disambut meriah bagi mengenangkan budi dan jasa sama ada bagi orang yang terdahulu dan juga semua mereka yang bergelar pekerja. Seronok bercuti, maklumlah di samping mengambil peluang melunaskan urusan rumah tangga, ada juga yang yang membuat kenduri kendara serta menziarahi sanak saudara kerana pada waktu ini semua dapat berkumpul bersama keluarga, selepas berhari-hari penat bekeja.

Kerja oh kerja, bila agaknya ia akan berakhir? Selagi hayat dikandung badan, selagi Allah kurniakan nikmat sihat maka selagi itulah kita akan terus bekerja. Bekerja merupakan satu pelaburan, satu saham untuk akhirat. Saya dan anda, kita sama-sama bekerja bukan untuk mencari rezeki semata-mata tetapi juga untuk membantu membangunkan masyarakat dan negara. Saya terdengar Bicara Mufti di TV1 jam 630 pg tadi berbicara mengenai pekerjaan yang paling afdhal adalah pekerjaan yang diperlukan oleh masyarakat dan negara pada sesuatu masa. Dalam konteks kita pada hari ini, pekerjaan yang memerlukan adalah untuk membangunkan negara dan anak bangsa, maka itulah pekerjaan yang paling afdhal. Rugilah kita kalau bekerja kerana upah semata-mata, atau kerana pangkat supaya tersohor di seantero dunia. Kalau bekerja kerana upah, maka kita hanya akan mendapat upahnya di dunia tetapi kalau kita bekerja kerana Allah maka kita bakal mendapat ganjaran yang berganda iaitu upah dan pahala. Alangkah hebatnya sendainya rezeki yang diperoleh dibersihkan pula dengan mengeluarkan zakat kerana di atas rezeki kita ada hak orang lain yang perlu kita tunaikan. Alhamdulillah... rahmat Allah yang kita dambakan. Sekadar peringatan dan pesanan untuk sama-sama kita pertimbang dan fikirkan. Ya..jangan kerana rezeki membawa kita masuk neraka. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhya daging yang dibesarkan dengan perkara yang haram, maka nerakalah yang lebih utama untuknya..” (Riwayat At-Tabrani ).

Pastinya rezeki yang kita peroleh dibelanjakan untuk keluarga, membesarkan anak-anak dan digunakan juga untuk urusan rumahtangga. Sudah pasti ia menjadi darah daging kita seisi keluarga. Kita sering didedahkan dengan isu keretakan rumahtangga, anak derhaka dan tidak mendengar kata, anak yang tidak endah melaksanakan perintah Allah dan lebih cenderung bergaul bebas dan suka mencari teman bersosial. Sungguh ramai anak-anak yang tidak bersolat dan berpuasa, langsung tak mempedulikan tentang seksa api neraka apatah lagi untuk memikirkan tentang dosa dan pahala. Kita pula sering terfikir, apa nak jadi dengan anak-anak kita, berdiskusi dan berbincang untuk mencari punca dan sebabnya kenapa anak muda kita tersasar jauh dari landasan kehidupan… Anda dan saya mungkin terlintas di fikiran, adakah punca rezeki menyebabkan jiwa dan hati anak-anak sukar diubati dan jauh sekali untuk menjamah pengisian rohani dan kesannya tiada lagi akal budi, hilang sudah budi pekerti.

Anda dan saya, marilah sama-sama kita mengimbas kembali, halalkah punca rezeki yang kita cari? Asyik bermesyuarat dan berforum jangan sampai kita terlupa melaksanakan suruhan Allah terutamanya solat lima waktu yang dapat menjadi benteng mempertahankan diri daripada terkeliru dan termakan pujuk rayu. Sepanjang bertugas, sejauh manakah kita memanfaatkan masa yang ada untuk membuat kerja tanpa membuang masa bercerita, bersembang di kafetaria atau menggunakan kemudahan yang ada untuk urusan peribadi kita. Kemudahan telefon contohnya digunakan untuk tujuan personal…fotostat, kertas, komputer dan printer dianggap sebagai hak persendirian digunakan pula untuk keperluan kerja sampingan. Ya! Amanahkah kita dalam urusan kerja? Tanya diri sendiri, kerana jawapan hanya ada pada yang empunya diri dan Allah maha mengetahui. Alangkah ruginya kita.. dahlah penat bekerja yang kita dapat hanya duit gajinya semata-mata. Keberkatan jauh sekali kerana kita sering terlupa bahawa rezeki semuanya kurniaan daripada Allah jua. Saya tertarik untuk memetik satu ungkapan yang cukup indah daripada Majalah Solusi Isu Perdana untuk dikongsi bersama iaitu “AKU TAKUT AKAN NIKMAT DUNIA KERANA HALALNYA DIHISAB, MANAKALA HARAMNYA PULA DIAZAB”. Ayuh..kita muhasabah diri, seandainya terdapat kelemahan, kekurangan dan kelalaian dalam usaha kita mencari rezeki, marilah sama-sama kita perbetulkan apa yang silap, luruskan apa yang bengkok dan bersihkan harta dan rezeki dengan segera mengeluarkan zakat. InsyaAllah moga kehidupan kita akan memperolehi berkat sebagai bekalan menuju akhirat. Anda dan saya moga Allah merahmati kehidupan kita.

Selamat Hari Pekerja dan selamat bercuti... Mudah-mudahan rezeki yang kita perolehi selama ini diberkati Allah Taala.

Bertemu lagi...

1 comment:

  1. Mai, Terus berkhidmat dengan ikhlas, jujur dan amanah. Semoga Allah SWT sentiasa bersama kita. Amin..

    ReplyDelete