Friday, May 7, 2010

Betapa Kita Tidak Menghargai

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini entah kenapa saya tertinggal kaca mata di pejabat. Maknanya saya tidak akan mampu membaca kerana tidak nampak…apa lagi untuk menulis. Ya..ini baru sedikit nikmat yang Allah tarik, tanpa cermin mata kepala terasa pening, semua tidak kena disebabkan kelam sungguh penglihatan dan kabur pandangan. Betapa hebat kurniaan Alah…betapa tak ternilainya nikmat Allah tetapi kenapa kita semua sebagai hamba masih tidak sedar bahawa apa yang ada pada diri kita bukannya kita yang punya tetapi dipinjamkan oleh Allah untuk kita jaga dan pelihara dengan sempurna. Adakala kita menjadi tamak haloba seolah-olah apa yang ada semuanya hak milik kita kerana kita berusaha mendapatkannya. Sungguh merugikan kerana kita sering terlupa segala yang kita miliki dan segala apa yang ada di dunia adalah milik Allah jua yang dipinjamkan secara sementara kepada kita. Kekayaan adalah suatu ujian, kesenangan hidup juga ujian, harta dan pangkat juga merupakan satu ujian, apatah lagi kemiskinan dan kesulitan. Ia sekadar untuk menguji keimanan, mampukah kita menghadapinya dan bersediakah kita untuk berdepan dengannya tanpa apa-apa bekalan?

Saban hari kita sering didedahkan dengan berita yang sensasi, amat menakutkan yang dilalui oleh generasi masa kini. Siang tadi saya terbaca berita pelajar 16 tahun melahirkan bayi di tandas klinik selepas mengadu sakit perut kepada guru dan rakan di sekolah. Saya terfikir di dalam hati, betapa hairannya saya kenapa perubahan diri pelajar tersebut tidak disedari oleh keluarga, ibubapa serta jiran tetangga apatah lagi guru-guru yang setiap hari masuk ke kelas silih berganti. Suatu situasi yang sunguh memilukan, kemanakah sifat mengambil tahu atau ambil berat yang ada pada diri kita, anggaplah anak orang juga seperti anak kita, bukankah umat Islam semuanya bersaudara. Kebimbangan kita sekiranya keadaan sebegini dibiarkan berterusan, maka akan lahirlah lebih ramai generasi yang tidak berbapa dan mungkin kita tidak tahu asal usulnya.

Kenapa remaja sekarang sanggup bertindak sebegitu rupa. Fenomena sebegini sungguh merisaukan kerana kita semua mahu bergerak maju ke hadapan tetapi kita terlupa membawa bekalan iman dan ketaqwaan menyebabkan diri anak remaja tidak mampu bertahan menghadapi godaan hawa nafsu kerana yang diutamakan adalah keseronokan. Ya..sungguh mengharukan. Bagaimanakah kita ingin melahirkan generasi Al-Quran sendainya penyakit sebegini dibiarkan menular tanpa sekatan. Dulu sewaktu zaman kanak-kanak di kampung, prasyarat utama anak-anak perlu khatam Al-Quran sewaktu di sekolah rendah sebelum melangkah ke sekolah menengah. Begitulah hebatnya didikan yang saya terima daripada ibubapa yang tidak pernah bersekolah. Ya..kalau benar cintakan Allah, jadikanlah Al-Quran penyuluh hidup, istiqamah membaca Al-Quran setiap hari, kalau tidak boleh banyak memadailah satu muka surat sehari. Firman Allah SWT; “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti daripada Tuhanmu, dan kami pula telah menurunkan kepada kamu Al-Quran sebagai nur cahaya yang menerangi segala apa yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak” (Al-Nisa’ :174). Yakinlah Al-Quran merupakan pemangkin dan tonggak terhadap kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Oleh itu, saya dan anda elakkan diri kita daripada menjadikan ayat al-Quran sebagai hiasan di dinding semata-mata. Amat menyedihkan seandainya alunan Al-Quran kedengaran sekadar untuk mengiringi jenazah pada hari kematian sahaja. Al-Quran penawar jiwa yang duka lara, pengubat hati agar tidak terus mati dan penunjuk arah agar kehidupan kita diredhai dan dirahmati. Justeru semestinya ia menjadi santapan rohani setiap hari. Anda dan saya bermula pada hari ini, marilah kita bersama-sama berikrar untuk membaca Al-Quran saban hari kerana Al-Quran adalah kalam Allah SWT dan membacanya merupakan satu ibadat. InsyaAllah..mudah-mudahan kita menjadi manusia yang beriman, yang mengenali Allah, bertaqwa kepadaNya dan natijahnya diri kita akan dapat mengecapi nikmat cinta yang sejati, iaitu cinta kepada Allah yang maha pengampun lagi maha penyayang. Moga saya dan anda istiqamah membaca Al-Quran setiap hari dan jadikan ia satu kemestian yang perlu dilaksanakan, insyaAllah...

Bertemu lagi...

2 comments:

  1. Semoga Allah swt terus memandu hati kita untuk kekal berada di landasan yang betul dan agar tidak lupa, leka dan lalai. Kita perlu hargai sesuatu atau seseorang yang berada di depan mata kita sebelum ia pudar atau hilang. Betul kan kak?

    SHS ;-)

    ReplyDelete
  2. Adik SHS, Amat tepat sekali, memang lumrah manusia, jarang menghargai yang sedia ada dan yang ada di depan mata, apabila dah hilang baru terasa, tetapi sudah tiada gunanya, alangkah sia-sia. Bersama kita saling menghargai, bersyukur dengan segala nikmat yang ada.

    ReplyDelete